Kerajaan jamin pantau kesan sampingan vaksin AstraZeneca

0
96
Datuk Seri Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Rakyat negara ini yang menerima vaksin Covid-19 dari jenis AstraZeneca dinasihatkan memantau tahap kesihatan diri dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas suntikan vaksin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami sebarang gejala abnormal selepas suntikan pertama vaksin tersebut.

Antara gejala yang disenaraikan berkaitan dengan pengambilan vaksin adalah sakit kepala yang teruk, pandangan kabur, lemah badan, mengantuk, sawan, bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau pendarahan, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut berterusan.

Selain itu katanya, kementerian juga memberi perhatian kepada risiko pembekuan darah akibat pengambilan vaksin jenis itu dan memberi jaminan akan terus memberi rawatan jika kes benar-benar berlaku.

“Kejadian darah beku sangat jarang berlaku, dan pemberian vaksin ini telah mengambil kira faedahnya dalam mencegah jangkitan Covid-19 yang mengatasi risiko daripada pengambilan vaksin.

“Pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan sama ada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan katanya, pemeriksaan-pemeriksan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera.

Dr Adham berkata, KKM akan menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca pada hujung Mei ini melalui fasiliti COVAX, sebagai tambahan kepada 268,800 dos sedia ada.

Mengikut jadual Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemohon vaksin AstraZeneca yang berjaya akan mula mendapat suntikan pada 5 Mei ini (Rabu).

Empat pusat yang digazetkan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ialah World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here