Kerajaan sedang kaji semula kadar gaji minimum

0
90
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kerajaan sedang mengkaji semula kadar gaji minimum pekerja bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa komited dalam berusaha membela hak pekerja.

“Saya berharap dan menyeru supaya semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” kata Muhyiddin dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan di televisyen, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, langkah ini merupakan salah satu daripada tiga strategi utama yang ditetapkan kerajaan sejak setahun lepas bagi membantu golongan pekerja dalam berdepan kesukaran semasa akibat wabak Covid-19.

Beliau menjelaskan, strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan terutamanya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaiannya.

Walaupun banyak bantuan telah disediakan kerajaan, masih terdapat golongan pekerja yang terjejas dan mengambil masa lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak Covid-19.

Namun, kata Muhyiddin, beliau yakin rakyat khususnya warga pekerja akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Peranan yang saudara dan saudari mainkan sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara selama ini adalah sangat penting dan dihargai
kerajaan.

“Marilah kita teruskan usaha kita bersama untuk masa depan Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here