
KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan bagi segera menyiasat kemalangan yang melibatkan dua buah tren perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di sini sebentar tadi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam MOT dan agensi-agensi di bawahnya.
“Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula akan menyediakan laporan teknikal siasatan.
“Setakat ini siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.33 malam melibatkan LRT Laluan Kelana Jaya. Sebuah tren tidak membawa penumpang manakala sebuah lagi membawa 232 orang penumpang.

“Seramai 213 orang penumpang mengalami kecederaan dan 166 cedera ringan. manakala 47 orang penumpang yang mengalami kecederaan bukan ringan dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.
Katanya, hasil siasatan terperinci secara menyeluruh akan diumumkan selepas ini.
“Sekali lagi saya melahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terlibat. Semoga mereka yang tercedera segera sembuh dan saya juga akan pastikan bantuan sewajarnya akan diberikan,” ujarnya.-MT