Kerajaan uji suntik vaksin Covid-19 secara pandu lalu

0
233
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan merancang untuk melaksanakan pemberian vaksin secara kaedah pandu lalu supaya penerima vaksin menerimanya dari dalam kereta masing masing.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Katanya lagi, langkah itu akan dilakukan selepas bekalan vaksin yang diperoleh negara bertambah dan terkawal.

“Mulai Julai, setiap minggu kita akan terima dua juta dos Pfizer. Insya-Allah masalah bekalan kita terkawal.

“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada yang berjumlah 157 akan ditambah sampai 600 PPV. Lebih banyak PPV Mega juga akan diwujudkan.

“Daripada semua 2,500 lebih pengamal perubatan swasta yang berdaftar, sebanyak 1,500 sudah diluluskan akan beroperasi untuk menyuntik vaksin bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Sekarang baru 115 pengamal perubatan (GP) swasta yang buat suntikan. Lebih banyak unit suntikan bergerak dan kita akan uji sistem pandu lalu juga,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebelum Julai ini, Malaysia akan menerima 100 peratus tempahan vaksin Sinovac iaitu sebanyak 12 juta dos.

Dalam pada itu, katanya, setakat kelmarin jumlah yang divaksin sehari sudah mencecah 107,340 orang dan bermula bulan hadapan pihaknya yakin dapat mencapai 150,000 penerima sehari.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here