Kita mula dengan gerakan satu juta ummah – Coach Fadzil

0
267
Mohd. Fadzil Hashim.

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 200,000 umat Islam sebagai permulaan gerakan Satu Juta untuk memperkasakan penyatuan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, usaha untuk mengukuhkan semula keimanan, dakwah dan mengembalikan kuasa ekonomi itu merupakan asas utama yang menentukan masa depan umat Islam yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Selain usaha yang dilaksanakan beliau melalui penubuhan kumpulan perniagaan Malakat, beliau hari ini mengajak umat Islam menyertai ‘perkampungan digital’ yang dibuka melalui aplikasi Telegram (1JutaMelayu).

“Dalam grup Telegram yang saya buka semalam, saya target 200,000 yang sertai. Cuma konsepnya macam MLM, satu orang, cari 10 orang di bawahnya.

“Jadi jika kita ada 200 orang, yang 200 orang ini masing-masing perlu ada 10 orang dari kalangan stafnya, jiran, kawan baik. Nanti kita akan buat hirakinya,’’ katanya.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim yang berusaha membina ekosistem ekonomi Islam melalui pembukaan pusat beli belah dan pasar raya.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, melalui penyatuan 1 juta ahli itu, beliau berhasrat untuk menyelaraskan sumber ummah yang ada sebagai satu sistem digital yang efektif.

Usaha itu termasuk untuk memindahkan platform kumpulan Telegram yang diwujudkan ke lama media sosial yang akan dibangunkan umat Islam iaitu Adab.com.

“Bila kita dapat sejuta, kita akan dapat sejuta yang kedua, ketiga dan juta keempat dan seterusnya.

“Saya dah mulakan tapi mungkin orang tak nampak ia sebuah perjuangan yang menarik minat,’’ katanya dalam sesi Live Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun katanya, gerakan satukan satu juta ummah ini perlu dimulakan dahulu sebagai asas yang jika tidak dimulakan tidak akan memberi anjakan kepada ekonomi umat Islam.

“Kita perlulah bermula ~ start somewhere. Titik penyatuannya ialah kalimah Lailahailallah Muhammadur Rasulullah.

“Saya buat inisiatif ini untuk satukan sejuta Melayu ini kerana semangat Melayulah yang boleh menyatukan kita.

“Penyatuan itu memberi kita kekuatan asas untuk kita perkasakan dan ambil alih beberapa sektor yang memang dah berpuluhan tahun kita tak usahakan,’’ katanya.

Usaha untuk menyatukan kuasa itu katanya penting sebagai permulaan untuk melindungi diri, keluarga dan juga masa depan ummah.

“Pertama sekali kena jaga iman, amal dan dakwah. Kita kena hendakkan ketiga-tiganya kerana inilah jalan kejayaan walaupun di dunia kita belum nampak lagi.

“Niat utama kita ialah nak bantu sesama kita menerusi penjagaan iman dan keselamatan diri melalui penguasaan dalam ekonomi dengan pelan yang membolehkan kita mendapat pendapatan minima RM100,000 insya-ALLAH,’’ katanya.

Malakat Mall Masjid Tanah yang diharap menjadi katalis pembangunan ekonomi umat Islam di Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here