KSU diminta patuhi had warga kerja 20 peratus sepanjang PKP

0
75

CYBERJAYA – Semua Ketua Setiausaha (KSU) diminta memberi kerjasama untuk menyediakan laporan keberadaan warga kerja dengan mengemukakan laporan peratusan kehadiran kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada setiap Jumaat bermula minggu depan.

JPA dalam kenyataan memaklumkan laporan itu penting untuk memastikan syarat kehadiran bertugas warga kerja di pejabat mematuhi tahap 20 peratus.

“Kehadiran maksimum 20 peratus di pejabat hanya dibenarkan untuk proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti urusan pembayaran dan melibatkan dokumen rahsia atau Rahsia Besar seperti Memorandum Jemaah Menteri.

“Bilangan itu tidak termasuk anggota barisan hadapan dan warga kerja yang diarah penugasan semula di agensi-agensi tertentu,” menurut JPA.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali baru-baru ini mengumumkan bahawa pengoperasian pejabat kerajaan akan dilaksanakan secara ‘hibrid’ melalui keberadaan di pejabat dan arahan bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ia termasuk menggunakan pendekatan kehadiran ke pejabat pada tahap 20 peratus keseluruhan yang tidak termasuk perkhidmatan petugas barisan hadapan dan 80 peratus secara BDR dengan penggiliran.

Bagi warga kerja yang melaksanakan BDR pula, JPA mengingatkan bahawa mereka dilarang sama sekali menjalankan sebarang urusan peribadi semasa waktu pejabat tanpa kebenaran Ketua Jabatan.

“Mana-mana warga kerja yang didapati tidak mematuhi ketetapan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib,” menurut JPA.

Memperincikan perkara itu, JPA memaklumkan bahawa warga kerja yang diarahkan BDR adalah dibenarkan membawa pulang dokumen berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun JPA menegaskan bahawa pegawai terbabit bertanggungjawab menjaga keselamatan serta kerahsiaan dokumen kerajaan selain memastikan semua dokumen kerajaan sama ada dalam bentuk salinan cetak atau salinan elektronik disimpan dengan sempurna.

“Dokumen berkenaan hendaklah diletakkan di tempat yang selamat serta mematuhi kehendak Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Arahan Keselamatan dan apa-apa peraturan, pekeliling, garis panduan atau arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa,” menurut JPA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here