Kuarantin MAEPS; Bayangan kita di penjara atau di tanah suci?

0
113

DISAHKAN positif Covid-19 dan dimasukkan ke pusat kuarantin MAEPS sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiltiri bukanlah satu pengalaman menyeronokkan.

Bagi Ainol Amriz Ismail, 53, gambaran ‘kalut dan kelam kabut’ di pusat kuarantin itu mula menerjah fikiran sebaik sahaja menaiki kenderaan Kementeriab Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke lokasi berkenaan.

Suasana sesak, bising dan layanan yang teruk seperti yang kerap diceritakan di segenap penjuru media sosial mula mencetuskan ‘anxiety’ kecil.

Parah kali ini, detik hati kecilnya.Namun, sebaik sahaja selesai pendaftaran dan penempatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah itu, Ainol masih tercari-cari sesuatu untuk dirasakan cemas, panik atau tidak tentu arah.

Tiada jawapan kepada persoalannya itu. Pada beliau, bagi sebuah pusat penempatan rawatan sementara, PKRC MAEPS itu sudah cukup sempurna dengan semuanya dalam keadaan baik dan teratur.

Berbeza dengan individu-individu ‘negatif’ yang tercampak masuk ke situ, beliau melihat pusat kuarantin itu dari perspektif yang berbeza.

“U kalau masuk pusat kurantin, otak u dah set untuk terima negatif, u akan terus mengkritik. Tapi kalau u tau, Covid ini satu penyakit, u akan rasa ada perlunya masuk dan kuarantin di MAEPS atau u rasa cukup sihat untuk kuarantin di rumah, tidur atas katil empuk, tengok TV, mandi dalam bilik air dalam bilik, u kena tabahlah,” tulis Ainol dalam hantaran Facebooknya.

Tangkap layar daripada video pendek dihasilkan Ainol Amriz Ismail semasa ditempatkan di Pusat Kuarantin Covid-19, MAEPS, Serdang.

Beliau yang merupakan editor, konsultan media dan tenaga pengajar kursus penyuntingan video berita (mobilejournalism) itu berkata, peluang untuk menceritakan perkara positif mengenai pusat itu sebenarnya jauh lebih banyak berbanding sebaliknya.

“Saya tidak memilih untuk menulis negatif kerana saya lihat tidak ada faedah selain menimbulkan kemarahan dan ketakutan umum terhadap pengurusan pesakit Covid-19 di sini.

“Kenapa perlu laporkan hal negatif, sedangkan banyak yang positif tidak dilaporkan dalam pusat kuarantin.

“Apakah tidak ada satu kebaikan pun yang terdapat di pusat kuarantin MAEPS ini sehingga anda melihat semua itu bala dan negatif. Kemonnn lahhh,” katanya.

Ainol berkata, segala khabar negatif yang tersebar di media sosial mengenai pusat itu tidak lain tidak bukan datang daripada individu yang langsung tidak menghargai jasa-jasa petugas di situ.

“Bayangkan sehingga jam 2.30 pagi, jururawat dan doktor masih menerima pendaftaran masuk pesakit. Walaupun dalam keadaan sebegitu, layanan mereka kepada pesakit tetap yang terbaik,” ujarnya.

Dalam kata lain katanya, ramai yang masuk ke situ mahu mendapat layanan seperti ditatang minyak yang penuh sehingga ada yang tidak tahu untuk menghabiskan masa terluang selain mengkritik.

“Kalau pembesar suara bunyi kuat sekalipun ketika anda tidur, itu adalah untuk sampaikan informasi dan tidak sepatutnya merimaskan anda,” katanya.

Walhal katanya, banyak peluang yang boleh dimanfaatkan kerana pengurusan di pusat sebesar itu memerlukan kerjasama ramai penghuninya.

“Sehinggakan ada yang begitu kejam sampai tidak mahu membersihkan persekitaran sendiri dan hanya berharap kepada petugas (cleaner) untuk melakukannya,” katanya.

Ainol Amriz Ismail melakukan kerja-kerja sukarelawan bagi meringankan tugas frontliner.
Keadaan di Pusat Kuarantin Covid-19, MAEPS, Serdang.

Menceritakan pengalamannya menjadi sukarelawan tidak berdaftar di pusat kuarantin itu, Ainol mengaku pernah dimarahi pesakit sedangkan dia sekadar ingin membantu.

“Saya ada sahabat namanya Ben, seorang lelaki Cina bersama saya, menjadi sukarelawan dalam Hall C ini. Kami bersatu bersama beberapa yang lain membantu petugas frontliner.

“Saya dan Ben, pernah menolak troli yang menempatkan cadar, selimut dan sarung bantal, pernah rasa dimarah pesakit … ya kerana mereka stress sedangkan saya mahu memberikan makanan sebaik mereka mendaftar masuk jam 12.30 tengah malam.

“Saya kan pesakit juga … heh heh heh,” katanya melalui hantaran Facebook bertajuk Catatan Hari 7 (Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19, MAEPS).

Katanya, Ben adalah contoh pesakit yang wajar dicontohi kerana walaupun pernah menjalani rawatan jantung, masih mahu berbakti kepada komuniti di situ tanpa diarah sesiapa.

Ainol yang sedang menunggu kebenaran keluar dari pusat itu dalam masa beberapa hari lagi berkata, pengalaman dirawat di MAEPS, Serdang dari satu sudut memberi keinsafan kepada dirinya.

Katanya, ‘tercampak’ ke pusat rawatan itu seolah-olah memberikan seseorang dua pilihan sama ada untuk hidup seperti di dalam penjara atau menginsafi diri seperti berada di tanah suci. -MT

Tangkap layar suasana solat sunat Aidilfitri daripada video pendek dihasilkan Ainol Amriz Ismail semasa ditempatkan di Pusat Kuarantin Covid-19, MAEPS, Serdang.
Ainol Amriz Ismail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here