
CYBERJAYA – Kumpulan Malakat akan melebarkan lagi sayap perniagaan miliknya dengan menceburi sektor kesihatan selepas ditawarkan mengambil alih Hospital Pusrawi di Kota Damansara, Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim berkata, pihaknya telah mendapat tawaran untuk mengambil alih hospital itu dan berminat untuk meneroka peluang baharu itu.
“Sebenarnya projek ini tak ada dalam perancangan kami, memang kami ada perancangan untuk membuka hospital tetapi bukan pada waktu sekarang sebab kami baru buka klinik. Bagaimanapun perancangan Allah lebih besar dan baik untuk kami.
“Saya akui memang tak ada pengalaman dalam sektor ini tetapi dahulu pun kita tak ada pengalaman untuk buka mall tapi insya-Allah kita akan usahakan dengan pertolongan Allah,” katanya dalam sesi Live Facebook miliknya di hadapan Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi Kota Damansara hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berhasrat mencari pasukan baharu yang terdiri daripada doktor obstetrik dan ginekologi (O&G) serta jururawat.
“Benda paling besar yang kami perlu lakukan ialah segera mencari pakar O&G terutamanya ibu bapa di Brainy Bunch yang sama sefikrah dengan kami yang mahu membawa agama dalam kehidupan.
“Kita bukan sahaja mahu mewujudkan hospital patuh syariah tapi hospital yang menerapkan amalan terbaik dalam operasi hospital bersalin,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Coach Fadzil berkata, beliau berhasrat mewujudkan 100 lagi hospital bersalin dan keluarga dalam Malakat ekosistem iaitu dengan membina ekosistem yang bebas daripada riba.
“Saya berhasrat untuk menjadikan sektor ini seperti rangkaian hospital terkenal Colombia Asia.
“Dan pada masa sama saya nak ajak doktor dan jururawat untuk bukan datang bekerja tetapi datang jadi ‘partner’ dan usahawan bersama iaitu memiliki pendapatan asas dan pendapatan dalam bentuk share di hospital ini,” katanya.-MT