Kumpulan Malakat bakal lancar tabung khas untuk bantu golongan terkesan dengan lockdown

0
84
Kumpulan Malakat menggerakkan bantuan melalui Program Zero Hunger di seluruh negara ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu

CYBERJAYA – Sebuah tabung khas akan dilancarkan oleh Kumpulan Malakat bagi orang ramai yang berkemampuan untuk membantu golongan yang memerlukan ketika lockdown penuh dilaksanakan di seluruh negara bermula Selasa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim berkata, bantuan itu akan digerakkan dengan segera supaya tiada sesiapa pun yang kelaparan ketika lockdown dilaksanakan nanti.

“Kita nak gerakkan sebagai bantuan makanan asas supaya tiada yang kelaparan, kita mungkin boleh guna dana ini untuk bantu mereka.

“Kita akan lancarkan tabung khas lockdown penuh yang kita tak hadkan kepada makanan sahaja. Siapa yang perlu lebih daripada itu seperti sewa rumah misalnya, kita boleh beri subsidi sebanyak RM300, untuk sekadar membantu.

“Mereka hanya perlu buktikan asas keperluan secara online, kita akan hubungi dan kita akan pindahkan wang kepadanya. Cuma akan ada yang kata, macam mana bila ada orang menipu? Tuan, kalau kita hendak beramal, jangan fikir apa yang orang akan buat. Kita cuma fikir apa yang kita boleh buat,” katanya menerusi siarang langsung Facebook Live hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, untuk permulaan pihaknya akan fokus kepada pemberian barangan keperluan harian dan makanan.

Pengurus Pembangunan Vendor Malakat Grocer, Noor Herdawaty Zakaria (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program sumbangan yang dianjurkan oleh Zero Hunger, Yayasan Brainy Bunch dan Malakat Mall di Puchong Perdana. Gambar fail

Katanya, sekiranya lockdown tersebut berlanjutan, pihaknya akan cuba membantu dengan menyediakan bantuan subsidi untuk menyelesaikan sewa rumah atau utiliti.

Sehubungan itu, Coach Fadzil menyeru kepada mereka yang berkemampuan untuk menyumbang seikhlas hati bagi meringankan beban golongan memerlukan.

“Kita bukan wajibkan tetapi kita mohon agar dapat sekiranya sumbangkan separuh gaji. Kalau tak dapat separuh gaji, paling kurang sumbanglah RM100.

“Kalau tak boleh paling kurang pun RM10. Sumbangkanlah. Kalau kita ada sejuta orang, seorang sumbang RM100 kita dah ada RM100 juta,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here