Kumpulan Malakat, GISB bakal jalin kerjasama demi jayakan ekonomi umat

0
1998
Bacaan doa semasa majlis perasmian Malakat Grocer di Alam Damai hari ini.

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat bersama GISB Holdings Sdn Bhd. (Global Ikhwan Services &
Businesses Holdings) bakal mengadakan kerjasama bagi menyatukan kekuatan ekonomi umat Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim berkata, usaha itu penting kerana usaha untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi Islam perlu dilakukan secara bersama dan bukannya bersendirian.

“Semalam ketika menghadiri majlis Himpunan NGO-NGO Bersama Ulama, Pendakwah dan Negarawan saya ada berbincang bersama Datuk Lokman Hakim Pfordten (Ketua Pegawai Eksekutif GISB) untuk menyatukan kekuatan, amalan kerja yang baik dan rantaian pembekalan.

“Semua orang sekarang hendak balik kepada agama, tapi kita tak boleh buat sendirian kena ada kordinasi. Kalau Ikhwan buka kedai di satu kawasan, Malakat tidak boleh buka di situ juga. Kita tidak perlu bersaing sesama sendiri kerana pasaran yang ada besar.

Pasar raya Ikhwan Mart milik GISB

“Contoh lain, kalau MyKampung Freshmart milik Ustaz Firdaus Wong dibuka di situ, kita jangan buka di situ, sekurang-kurangnya kalau hendak buka perlu jarak satu kilometer,” katanya dalam sesi Live Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, idea untuk menyatukan ekonomi umat Islam juga dipersetujui oleh Ketua Pegawai Eksekutif GISB itu.

Beliau berkata, konsep tarbiah yang diamalkan oleh penyokong GISB dalam memajukan sistem
ekonomi mereka boleh dicontohi kerana ia bukan sahaja telah terbukti di Malaysia malah turut berkembang di luar negara.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

“Kita kalau hendak makan pun perlu pada agama, kalau tak, mungkin makanan yang kita beli itu tak halal. Malah, kalau pergi ke pasar lain kita sendiri tak dapat pastikan orang itu beriman atau tidak.

“Sehubungan itu, Datuk Lokman telah menyatakan kesediaan untuk kita bekerjasama, ini juga merupakan satu usaha untuk satukan kekuatan. Saya katakan pada Datuk Lokman inilah masanya, kita tak boleh tunggu lagi.

“Doakan kita boleh buat usaha ini dengan berpandukan kepada guru mursyid. Kami ada ustaz pembimbing Ustaz Masridzi Sat; Aminudin Yahaya; Zainul Rijal dan lain-lain. Selepas hari raya ini kita akan adakan satu kempen baharu,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here