Langgar SOP raya, polis akan panggil Azmin dan ahli keluarga

0
197
Gambar tular sejak hari raya pertama mengenai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa melanggar SOP raya

PUTRAJAYA – Polis akan memanggil Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta ahli keluarganya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan ziarah Hari Raya pada 1 Syawal lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, selain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, beberapa individu lain juga akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Mohd. Fadzil berkata, antara yang akan dipanggil adalah anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman Mohamed Azmin, pemilik akaun facebook Ummi Hafilda Ali dan saksi-saksi yang lain.

“Semalam, kira-kira pukul 3 petang, kami menerima satu laporan berhubung hantaran dalam Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen.

“Hantaran Facebook yang tular itu adalah berhubung dakwaan ahli keluarga Mohamed Azmin yang merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang mana kesalahan melanggar SOP PKP di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

“Kejadian itu didakwa berlaku pada 13 Mei lalu lebih kurang pukul 8 pagi, di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No. 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10, di sini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Mohd. Fadzil, maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut.

“Anggota yang bertugas di kediaman itu mengesahkan tiada pergerakan keluar masuk tetamu pada tarikh 13 Mei lalu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang telah tular di media sosial,” katanya.

Katanya, pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here