Langgar syarat lesen, 4 nelayan Thailand ditahan

0
39
Kru kapal warga Thailand yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Perak, kelmarin.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama 4 kru termasuk tekong atas kesalahan melakukan penangkapan ikan tanpa syarat sah.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Malawali yang sedang melakukan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan Perak kira-kira 7.7 batu nautika Timur Laut dari Pulau Jarak sekitar jam 2.40 petang, kelmarin.

Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu dikendalikan empat kru warga Thailand termasuk tekong berumur dalam lingkungan 35 hingga 44 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat sah pelesenan.

Ketika ditahan, bot itu sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Jarak dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen.

“Kru dan tekong, serta hasil tangkapan dianggarkan lebih kurang 300 kilogram telah ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu dan tiba sekitar jam 6.00 petang semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05 – 683 8737 untuk sama-sama membenteras aktiviti perikanan tidak sah itu.

Sebahagian daripada 300 kilogram hasil tangkapan yang dirampas Maritim Malaysia di perairan Perak, kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here