
PUTRAJAYA – Nampaknya anak-anak perantau sudah boleh lupakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri pada tahun ini.
Ini kerana pergerakan pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan sehingga 17 Mei ini atau sehingga tarikh lain diputuskan kelak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri dilaporkan di beberapa negeri sejak April lalu.
Dr. Adham berkata, beberapa kluster komuniti turut dikesan membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti setempat selepas menghadiri majlis dan program.
“Kami mengesan beberapa kluster yang tercetus dalam komuniti akibat majlis dan program seperti majlis pengebumian, perkahwinan, sambutan perayaan, majlis kesyukuran, majlis pertunangan dan bencana banjir,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengambil kira perkembangan itu katanya, kementerian memutuskan aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan sehingga 17 Mei ini atau sehingga tarikh baharu diumumkan kelak.