Lebih 8,000 tarik diri punca vaksin Astrazeneca dikeluarkan daripada senarai imunisasi kebangsaan

0
1421
Datuk Ahmad Amzad Hashim

CYBERJAYA – Keraguan masyarakat terhadap vaksin Astrazeneca menyebabkan kerajaan memutuskan untuk mengeluarkan senarai vaksin jenis itu daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, pada mulanya vaksin Astrazeneca memang dalam PICK dan semua yg mendaftar akan mendapat giliran mengikut fasa yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, apabila pemberian vaksin Astrazeneca hendak dimulakan terdapat bantahan daripada banyak pihak berikutan kebimbangan terhadap isu blood clots atau darah beku.

“Kerajaan telah menjelaskan berkali kali bahawa ia sangat minimal 0.0004 peratus sahaja dalam insiden yang amat jarang berlaku tetapi terlalu ramai yg mendesak menolak vaksin Astrazeneca.

“Sehingga pada satu tahap, 8,000 orang yang telah mendaftar dalam My Sejahtera untuk divaksinkan telah menarik balik pendaftaran atas alasan tak mahu kemungkinan ditentukan menerima suntikan vaksin Astrazeneca.

“Kerajaan perlu menghentikan tindakan menarik diri ini daripada menjadi ikutan hingga menjejaskan kelancaran usaha mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Orang ramai hari ini melahirkan perasaan kecewa selepas proses untuk tempahan fasa kedua vaksin Astrazeneca habis hanya beberapa minit selepas ia dibuka.

Tempahan untuk slot vaksin Astrazeneca yang dibuka tengah hari tadi

Malah terdapat pihak yang mempersoalkan kenapa pemberian vaksin tersebut tidak mengikut PICK yang ditetapkan sebaliknya perlu membuat tempahan lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, disebabkan tentangan banyak pihak, kerajaan terpaksa mengeluarkan vaksin itu daripada senarai vaksin yg digunakan dalam program teras PICK.

Berikutan itu, katanya, mereka yang mendaftar menerusi MySejahtera tidak lagi perlu khuatir kemungkinan diberikan vaksin Astrazeneca.

“Selepas itu, barulah trend menarik diri berhenti.

“Namun, kerajaan masih menjelaskan bahawa vaksin Astrazeneca adalah setara berkesan dengan jenis vaksin lain yang diluluskan NPRA dalam membendung penularan Covid-19, mengurangkan bilangan yang perlu dimasukkan ke hospital oleh jangkitan yang bergejala teruk dan bilangan kematian yang turun mendadak seperti berlaku di United Kingdom.

“Kerajaan malah menjelaskan saman negara di Kesatuan Eropah terhadap Astrazeneca langsung bukan berkaitan masalah kesan sampingan vaksin itu tetapi kerana menuntut bekalan vaksin dihantar menurut kontrak mereka dan tidak puas hati kerana bekalan vaksin itu tidak mencukupi.

“Dalam masa yang sama kerajaan Sarawak memohon lebih banyak bekalan vaksin supaya imuniti kelompok di Sarawak dapat dicapai sebelum Ogos ini iaitu tarikh tamat Darurat yg menyebabkan Sarawak tiada pilihan melainkan melaksanakan Pilihanraya Negeri Sarawak setelah itu kerana tempoh penggal tamat pada Jun 2021.

“Kerajaan menawarkan penghantaran bekalan vaksin Astrazeneca sebagai mempercepatkan vaksinasi di Sarawak tetapi tawaran ini ditolak oleh kerajaan negeri ketika itu,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, kerajaan memutuskan memberikan vaksin Astrazeneca kepada sesiapa sahaja yang berumur lebih 18 tahun dan bersetuju menerima suntikan secara sukarela.

Bagaimanapun, katanya, ketika kerajaan membuka tempahan vaksin tersebut, ramai orang muda yang memohon dan ketika pendaftaran baharu hari ini lebih sejuta yang memohon sehingga menyebabkan sistem sesak dan mengalami masalah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here