Lelaki maut selepas bergaduh pasal parkir dengan warga Myanmar

0
858
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 46 tahun maut selepas dipercayai bertelingkah dengan seorang lelaki warga Myanmar mengenai isu parkir di Jalan Temiang, di sini.

Kejadian lebih kurang jam 7.17 petang itu berlaku ketika mangsa datang ke rumah majikannya yang terletak bersebelahan rumah dengan suspek berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan antara mangsa dan suspek berpunca daripada masalah parkir.

“Mangsa dikatakan telah parkir keretanya di depan rumah suspek ketika datang ke rumah majikannya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun katanya, tindakan mangsa itu menyebabkan suspek berang kerana suspek telah pun meletakkan tanda tidak dibenarkan parkir di atas jalan di hadapan rumahnya.

Ujarnya, mangsa yang tidak berpuas hati apabila ditegur telah memprovok suspek sebelum berlaku pertengkaran dan adegan tolak-menolak.

“Selepas kejadian itu, mangsa rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri.

“Polis yang mendapat maklumat bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah pun meninggal dunia sebelum disahkan oleh pegawai perubatan,” katanya.

Berikutan itu katanya, suspek ditahan di rumahnya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Said berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini untuk bedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here