Lima daripada enam gerabak sudah dikeluarkan -Prasarana

0
53

CYBERJAYA – Kerja-kerja mengeluarkan gerabak tren yang terlibat dalam kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) malam kelmarin kini hampir siap apabila lima daripada enam gerabak berjaya dikeluarkan hari ini.

Prasarana dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, gerabak yang terlibat dalam nahas berkenaan berjaya dikeluarkan malam tadi manakala fokus hari ini adalah untuk mengeluarkan gerabak terakhir dari trek laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC itu.

“Kerja-kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka akan selesai dalam masa tiga hari seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan.

“Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” menurut kenyataan itu.

Prasarana berkata, cabaran paling besar ialah untuk memisahkan gerabak kedua-dua tren itu kembali ke landasan dan menaikkannya sebelum dihantar ke depoh LRT Kelana Jaya di Subang.

Dalam kejadian Isnin lalu, 213 penumpang cedera dalam kemalangan melibatkan dua tren LRT Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC dari arah stesen Kampung Baru.

Jumlah itu melibatkan kira-kira 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 orang mengalami luka ringan.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan satu pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here