LZS sudah bantu keluarga 28 anak sejak 2010

0
224
Sebuah pertubuhan mendedahkan keadaan keluarga besar yang mempunyai 28 orang anak di Klang selepas membuat lawatan dan menyampaikan sumbangan

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah membantu keluarga besar yang mempunyai 28 orang anak di Klang yang tular di media sosial semalam sejak 2010 lagi

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, bantuan itu ialah kewangan bulanan, makanan, sewa rumah, modal, persekolahan anak, raya dan juga kecemasan.

Bagaimananpun katanya, terdapat sebahagian anaknya tidak bersekolah dan sesi kaunseling serta induksi akan dilakukan kepada ahli keluarga termasuk ketua keluarga berkenaan.

“Usaha ini supaya mereka dapat mengubah kehidupan kerana merupakan antara Rangka Tindakan (Blueprint) yang digariskan dalam pembangunan asnaf di Selangor.

“Mereka juga akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah. Manakala, anak-anak yang tercicir di sekolah menengah akan dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal dalam membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya.

Terdahulu Saipolyazan ditemui pemberita selepas majlis iftar dan penyerahan zakat perniagaan oleh 24 buah syarikat semalam.

Sebelum ini, sebuah keluarga besar yang mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan netizen.

Saipolyazan menegaskan, pihaknya juga akan melihat semula keperluan keluarga tersebut dari segi menyediakan kemudahan dan keselesaan supaya anak-anak tidak tercicir persekolahan.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kebanyakan kes tertentu yang ditularkan adalah kisah berulang yang sememangnya asnaf telah disantuni LZS.

“Kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor yang lama telah tahu termasuk Ebit Lew, Syed Azmi dan Cikgu Fadil yang akan memeriksa dengan kita sebelum ditularkan.

“Mungkin NGO baharu tidak faham dan tidak mengetahui kerjasama dijalankan LZS dengan NGO dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i).

“Kita tidak mahu virus (fitnah) yang tular ini memberikan kesan kepada jumlah kutipan setiap tahun seterusnya agihan kepada asnaf yang memerlukan,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here