Majlis akikah: TokTi jelaskan tiada pelanggaran SOP, rentas negeri berlaku

0
365
Kehadiran penceramah agama dari negeri lain dalam majlis akikah itu telah mengundang kecaman pelbagai pihak

CYBERJAYA – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjelaskan tiada sebarang isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika berlangsungnya majlis akikah anaknya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan kehadiran seorang penceramah terkenal dalam majlis itu yang kononnya merentas negeri semata-mata untuk menghadiri majlis itu juga tidak benar.

“Di sini ingin kami maklumkan tiada aktiviti rentas negeri yang berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu kehadiran beberapa agamawan dalam majlis akikah anak pasangan tersebut pada 26 April lalu telah mendapat kecaman pelbagai pihak kerana terdapat individu yang dijemput perlu merentas negeri untuk hadir ke majlis tahnik itu.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus dalam satu video ceramahnya menjelaskan kehadirannya dalam majlis itu sebagai sekadar menziarahi rakan baiknya itu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Siti Nurhaliza berkata, memandangkan majlis itu berlangsung ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa, pihaknya mematuhi jumlah tetamu yang dijemput.

Majlis akikah anak lelaki Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa

Malah katanya, majlis juga dibahagikan kepada tiga sesi dengan jumlah tetamu adalah terhad.

Menyentuh kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, katanya, ia berlaku pada waktu siang dan bukannya dalam majlis khas.

“Dikesempatan ini juga kami memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

“Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here