Malakat Food agih sumbangan Aidilfitri kepada 170 penerima asnaf, pelajar tahfiz

0
42
Pasukan sukarelawan Malakat Food mengagihkan bantuan Aidilfitri kepada golongan asnaf.

CYBERJAYA – Penghujung Ramadan tahun ini cukup bermakna bagi lebih 170 golongan asnaf, anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz yang menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada kumpulan perniagaan Malakat Mall.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian dan duit raya yang bermula sejak Sabtu lalu sehingga semalam merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang digerakkan oleh Malakat Food Sdn Bhd (Malakat Food).

Antara kumpulan penerima bantuan yang dimulakan sejak tahun lalu itu adalah 60 orang penghuni Rumah Kebajikan dan Bimbingan Al-Taqwa di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Turut menerima sumbangan adalah 35 anak-anak asnaf dari Pusat Jagaan Amal Asyura Sungai Buloh, 45 orang pelajar tahfiz dan 50 orang penerima asnaf kawasan Puchong di Masjid Puchong Indah.

Pengurus Quick Service Restaurant (QSR) Malakat Food Sdn Bhd, Norfarahani Mohd Sharif berkata, agihan sumbangan itu dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk barangan keperluan harian seperti beras, minyak, susu; hidangan berbuka puasa, kuih raya dan wang tunai.

Norfarahani Mohd Sharif
Sebahagian daripada pek makanan dan sajian berbuka puasa.

Katanya, program menyantuni golongan asnaf dan pelajar tahfiz yang dimulakan sejak tahun lalu itu diharap dapat memberi kegembiraan sempena ketibaan Aidilfitri.

“Sempena Ramadan yang penuh keberkatan ini kami menyampaikan sumbangan, walaupun sederhana tetapi dengan harapan mampu mengurangkan beban penerima menjelang Aidilfitri.

“Program seperti ini sudah menjadi acara sepanjang tahun dan bukan hanya tertumpu ketika Ramadan dan Syawal sahaja,” katanya.

Tambah Norfarahani, agihan sumbangan dilakukan melalui data-data asnaf daripada program bantuan kemanusian kumpulan Malakat Mall sejak tahun lalu.

Pasukan sukarelawan Malakat Food mengagihkan hidangan berbuka puasa kepada pelajar tahfiz.

“Sebahagian daripada penerima adalah golongan asnaf yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Bagi sumbangan makanan dan pek berbuka puasa katanya, hidangan dan produk makanan disediakan oleh outlet-outlet makanan di Malakat Mall.

Tambahnya, semoga usaha ini dapat memberi kebaikan kepada penerima dan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Program agihan sumbangan Aidilfitri yang bermula sejak Sabtu lalu sehingga semalam.
Sumbangan duit raya bagi menceriakan penerima-penerima asnaf.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here