
CYBERJAYA- Malakat Grocer Alam Damai, Cheras yang baharu beroperasi bulan lalu dipecah masuk oleh penjenayah semalam yang mengakibatkan kerugian mencecah RM10,000.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hahsim berkata, kejadian tersebut disedari usahawan Malakat Grocer Alam Damai, Khairul Anwar Mohamed Mustafa awal pagi tadi.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut dan orang ramai diminta mendoakan agar Khairul Anwar terus bersemangat untuk teruskan perjuangan.

“Innalillahiwainnalillahirojiun! Malakat Grocer Alam Damai Cheras dipecah masuk… Ini sebahagian daripada Ujian kepada usahawan kita saudara Khairul Anwar, semoga dia terus kuat.
“Semoga Allah mengurniakan yang lebih baik kepada Saudara kita. Mohon doa dan sokongan semua untuk mengajak saudara kita yang di Alam Damai Cheras untuk menyokong dan membeli di Kedai Malakat Grocer Alam Damai Cheras.
“Kita agak terkilan dengan kejadian ini, jika ingin pecah masuk pun, ambil barangan sahaja tidak mengapa. Jangan sampai khianat dan rosakkan segala sistem yang ada. Mungkin mereka takut CCTV,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar ketika dihubungi berkata, kejadian berkenaan disedari pada pukul 7.45 pagi ketika beliau ingin membuka kedai bagi memulakan operasi.
Beliau berkata, antara barangan yang hilang ialah komputer riba, mesin juruwang, sistem CCTV dan beberapa barangan lain sehingga menganggu operasi harian Malakat Grocer Alam Damai.

“Saya baharu selesai membuat laporan polis, hari ini kami tetap beroperasi macam biasa tetapi buat masa ini hanya secara manual. Ini adalah dugaan, saya tetap akan teruskan.
“Kedai dipecah masuk melalui pintu depan, dan pintu belakang ada kesan umpilan daripada dalam. Insya-Allah selepas ini kami akan tingkatkan tahap keselamatan,” katanya.