Malaysia desak negara OIC guna undang-undang, politik dan ekonomi untuk tekan Israel

0
219
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Malaysia mengemukakan enam syor kepada semua negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya mempunyai hala tuju yang jelas berhubung isu Palestin dan keganasan rejim Zionis.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehubungan itu Malaysia mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memperbaiki kegagalannya dan memikul tanggungjawab dalam menjaga keamanan serta keselamatan.

Katanya, UNSC harus bertindak segera, menguatkuasakan resolusi dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Israel mesti ditekan agar mematuhi sepenuhnya semua kewajipan seperti yang digariskan dalam resolusi UNSC yang relevan, termasuk Resolusi 2334 dan undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB.

“Dalam syor kedua, demi menjamin keselamatan saudara mara kita Palestin, OIC perlu mendesak PBB untuk beri perlindungan antarabangsa untuk Wilayah Palestin yang diduduki.

“Walaubagaimanapun, saya juga nyatakan, kita tidak boleh sekadar menunggu PBB untuk bertindak di kala semakin ramai yang dibunuh, OIC juga perlu bertindak segera dan membantu rakyat Palestin dengan apa jua cara yang mungkin. Kita tidak boleh sekadar bercakap, kita mesti tunjuk kepada dunia negara-negara Islam ada di sini untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Tergempar Terbuka esok secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar bagi membincangkan mengenai tindakan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa Israel di Wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds Al-Shareef secara maya semalam.

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut menggesa masyarakat antarabangsa khususnya negara anggota OIC secara tegas menggunakan semua saluran undang-undang, politik dan ekonomi untuk menekan Israel.

“Inilah sebabnya Malaysia bersama Indonesia dan Brunei berganding bahu dan senada mengutuk Israel, kekuatan tiga negara Islam mewakili suara 250 juta umat Islam di Asia Tenggara tidak boleh diabaikan.

“OIC perlu menggesa masyarakat awam di seluruh dunia agar meneruskan perjuangan mereka dalam mendesak kebertanggungjawaban serta menonjolkan pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa oleh Israel.

“Peranan ini sangat penting dalam membentuk tanggapan umum dan memberikan tekanan dari bawah ke atas. Ini untuk memastikan penindasan terhadap rakyat Palestin dapat difahami di seluruh dunia, walaupun sesetengah pihak melabelkan rakyat Palestin sebagai pengganas,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia juga mendesak supaya masyarakat antarabangsa terus berusaha mencari penyelesaian yang berkekalan terhadap konflik ini.

Katanya, adalah amat penting semua negara anggota OIC bersatu menyokong perjuangan rakyat Palestin yang sedang diserang oleh rejim Zionis ketika ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here