Malaysia, Indonesia dan Brunei bersama kutuk serangan ganas Israel terhadap Palestin

0
293
Ratusan rakyat Palestin di Gaza maut terkena bedilan serangan udara tentera rejim sejak Isnin lalu

CYBERJAYA – Malaysia bersama-sama dengan dua lagi negara majoriti penduduk Islam, Indonesia dan Brunei akan mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin sehingga menyebabkan ratusan nyawa tidak berdosa melayang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketetapan itu diambil selepas beliau menghubungi Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung situasi semasa di Palestin.

“Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta merta.

“Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin,” katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Palestin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurut Muhyiddin, demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin, semua pihak mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia tentang pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Katanya, serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Sehubungan itu, katanya, perbuatan keji dan terkutuk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh dunia.

Mengulas lanjut, katanya, Malaysia juga akan menyatakan pendirian tegas itu menerusi menerusi satu Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di peringkat Menteri-menteri Luar yang akan berlangsung esok.

“Saya, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya, Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel keatas Palestin.

“Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat. Walaupun begitu, Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

“Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya samada dari segi politik, ekonomi, dan moral. Penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan,” tegasnya.

Muhyiddin berkata, satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel ialah melalui Penyelesaian Dua Negara dengan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here