Malaysia pertimbang guna alat ujian pernafasan kesan Covid-19

0
116
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Alat ujian pernafasan yang dikenal pasti sebagai kit pengesanan baharu virus Covid-19 sedia dipertimbangkan untuk kegunaan di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya kini dalam proses menunggu permohonan untuk pembekalan alat ujian berkenaan.

Dr. Adham berkata, alat berkenaan sudah digunakan di Singapura untuk mengesan virus melalui pernafasan dan kaedah berkenaan perlu diterokai di Malaysia.

“Setakat ini kita dalam proses untuk menerima permohonan dan kita ada agensi Medical Device Authority (MDA) yang boleh menerima permohonan daripada pembekal untuk menjalankan ujian klinikal bagi menentukan kegunaan di negara ini.

“Alat itu pada masa ini digunakan di Singapura untuk kesan virus menerusi pernafasan dan kaedah ini perlu diteroka untuk diguna pakai di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Sebelum ini, ujian pernafasan yang mudah digunakan bagi mengesan Covid-19 dengan tepat dalam masa seminit itu sudah mendapat kelulusan sementara Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA).

Sistem Ujian Pernafasan BreFence Go Covid-19 itu dibangunkan Breathonix Pte Ltd, sebuah syarikat terbitan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, berikutan laporan berita yang tular mengenai penggunaan ujian pernafasan itu, MDA sudah membuat carian di laman web laboratori luar negara.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu supaya pihak MDA boleh meluluskan permohonan daripada pembekal dan selepas itu kita boleh guna kit ujian guna sampel pernafasan ini yang dilihat lebih mudah apabila masanya sampai,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan juga sedang meneliti untuk memperluaskan ujian pengesanan Covid-19 kendiri melalui sampel air liur.

“Orang ramai buat ujian sendiri untuk tahu status, mereka yang bergejala, sekiranya didapati positif asingkan diri dan kongsi maklumat sama ada dalam MySejahtera atau pegawai kesihatan di pusat kesihatan berdekatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here