Maqis rampas lebih 25 tan daging import tanpa logo halal dari Australia

0
391
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Lebih 25 tan daging lembu sejuk beku dari Australia berjaya dirampas di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin lalu kerana didapati tiada logo halal di dalam kotak dagangan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Zamri Hashim berkata, daging sejuk beku itu seberat 25, 289.30 kilogram dan bernilai RM309,541.03.

“Pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai Maqis pada 4.20 petang (Isnin) mendapati pengimport daging itu gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki sepertimana dalam syarat Permit Import yang diluluskan.

“Berikutan itu, semua daging lembu sejuk beku dianggarkan seberat 25,289.30 kilogram dan bernilai RM309,541.03 dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import Maqis merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, katanya.

“Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here