Maqis tahan 68 tan kayu import dari Kanada

0
19
Kontena berisi kayu yang ditahan Maqis di Pelabuhan Tanjung Pelepas Gelang Patah, Johor.

JOHOR BAHRU – Sebuah lori kontena membawa kayu potong bernilai RM210,776 ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, kelmarin.

Pengarah Maqis negeri, Hizzuan Hasim berkata, penahanan dibuat hasil pemeriksaan pada pukul 3.50 petang itu kerana kesalahan permit import tamat tempoh.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati produk kayu yang dimuatkan dalam kontena seberat 68.8 tan terbabit dibawa masuk dari Kanada.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati produk kayu yang dianggarkan bernilai RM210,776 itu dibawa masuk menggunakan permit import tamat tempoh.

“Kesemua produk kayu tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hizzuan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” kata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here