Maritim Malaysia tahan 4 nelayan warga Myanmar

0
47
Kapal nelayan milik warga tempatan yang digunakan oleh warga Myanmar ditahan Maritim Negeri Perak.

𝗟𝗨𝗠𝗨𝗧 – Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang dikendalikan warga Myanmar ketika menjalankan aktiviti perikanan di barat daya Pulau Batu Putih di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi pada pukul 3.15 petang itu, pihak berkuasa itu menahan empat kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 34 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, mereka melakukan kesalahan kerana melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang dari 3.0 batu nautika.

“Bot peronda yang melakukan Op Benteng Laut dan Op Pintas di sekitar perairan Pulau Sembilan mengesan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan.

“Bot tersebut berjaya dipintas dan diberhentikan oleh bot peronda ketika aktiviti perikananan sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut menggunakan pukat tunda dengan dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong.

Shahrizan berkata, bot yang dipercayai berpengkalan di Hutan Melintang Perak itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang, serta Akta Imigresen 1959/63 menggajikan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, tekong dan kru serta bot ditahan dengan hasil tangkapan dianggarkan 30 kilogram itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak malam tadi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau sebarang aduan mengenai jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here