
CYBERJAYA – Penyiaran gambar kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel oleh dua agensi media pro Isreal, New York Times dan The Haaretz baru-baru ini jelas memperlihatkan dunia makin sukar mempercayai Zionis.
Laporan ‘memecah tradisi’ itu bagaimanapun mencetuskan tentangan daripada pihak pro-Israel sehingga ada yang membatalkan langganan ke atas syarikat media berkenaan.
Namun keterbukaan yang ditampilkan media itu jelas menunjukkan dunia tidak lagi dapat menerima kekejaman dan pembohongan Israel terhadap penduduk Palestin.

Haaretz yang diasaskan sejak 1918, merupakan syarikat akhbar Israel yang dicetak dalam Bahasa Hebrew dan Inggeris. Versi Bahasa Inggeris kini dijual bersama dengan
International New York Times.
Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, tindakan berani barisan pengarang akhbar berkenaan dalam menyampaikan berita jelas menunjukkan bahawa Israel tidak lagi dapat menipu dunia.
“Selama ini mereka berkemampuan menekan media arus perdana dan kerajaan mereka tetapi tidak lagi sekarang ketika dunia telah menyaksikan apa yang dilakukan kepada penduduk Palestin.
“Usaha membebaskan Palestin perlu diteruskan melalui pelbagai saluran,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Selain liputan secara lebih telus, konflik yang mengorbankan 288 orang awam termasuk 60 kanak-kanak dan 40 wanita di Gaza baru-baru ini turut disahut dengan protes anti Israel yang di bandar-bandar utama seluruh dunia.