Menteri tidak hadir majlis serah tugas KPN

0
369
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan tidak hadir pada Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Negara (KPN) yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Istiadat pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang baharu dilantik itu diambil alih oleh Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang mewakili Hamzah.

Mengikut tradisi, istiadat pemakaian pangkat bagi jawatan tertinggi angkatan polis itu dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri selaku menteri bertanggungjawab ke atas pasukan keselamatan itu.

Acryl Sani dilantik menjadi Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pelantikan Acryl Sani mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Tongkat Kuasa jawatan berkenaan diserahkan kepada Acryl Sani sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Memetik laporan Sinar Harian, Ismail berkata, Hamzah tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana terpaksa menyertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Abdul Hamid dalam sidang media terakhirnya pada Jumaat lalu menggesa agar Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak dipengerusikan oleh menteri bagi mengelakkan campur tangan politik.

Tambah Abdul Hamid, pengerusi SPP juga sepatutnya mengadakan mesyuarat lebih kerap agar kes-kes berkaitan tatatertib dapat diselesaikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here