Mercy Malaysia salur bantuan awal RM500,000 kepada Palestin

0
60
Gambar semasa konflik serangan Israel di bumi Gaza

CYBERJAYA – Mercy Malaysia tampil menyalurkan bantuan kecemasan dan perubatan sebanyak RM500,000 kepada penduduk Palestin selepas serangan Israel.

Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, bantuan fasa pertama itu berupa ubatan-ubatan serta alat kesihatan dan pembedahan.

“Bantuan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin dan seterus akan diagihkan kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya,  Mercy Malaysia juga sudah mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 keluarga (daripada 1,200 keluarga).

“Mercy Malaysia turut agihkan peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain. Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga yang terkesan akibat serangan rejim Israel.

“Bantuan lain yang sedang dijalankan melalui fasa pertama bantuan ke Palestin ialah menyediakan tempat tinggal sementara di Gaza dan Timur Baitulmaqdis, meneruskan program bekalan air bersih serta program bantuan psikososial khususnya kepada mangsa trauma,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penghantaran fasas kedua bantuan pula masih dalam perjalanan kerana sekatan di sempadan Rafah (pintu masuk Gaza).

Mercy Malaysia telah menghulurkan bantuan di bumi Palestin sejak Perang Gaza (2008-2009) hingga kini, dalam situasi perang dan bukan perang.

Dr Ahmad Faizal berkata Mercy Malaysia menyifatkan gencatan senjata di Gaza yang dicapai antara beberapa pihak di Palestin dan Israel sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik itu.

Beliau berkata gencatan senjata itu akan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai orang awam terkorban di wilayah konflik terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here