MPSepang perkenal sistem GoPayy untuk caj tempat letak kereta

0
52
MPSepang

CYBERJAYA –  Majlis Perbandaran (MPSepang) akan melaksanakan kaedah pembayaran caj tempat letak kereta digital GoPayy bermula esok.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata,  GoPayy adalah kaedah terbaharu pembayaran caj tempat letak kereta awam di seluruh daerah Sepang.

“GoPayy adalah kaedah terbaharu pembayaran caj tempat letak kereta awam bagi menggantikan kaedah pembayaran secara kupon gores di seluruh Sepang.

“Ia sebagai langkah menyokong strategi kerajaan negeri bagi meningkat taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai bandar pintar yang mengutamakan teknologi hijau.

“MPSepang adalah PBT pertama di Selangor yang memperkenalkan kaedah kupon digital pembayaran caj tempat letak kereta awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd Hamid, bagi membantu pengguna, pihaknya akan menyediakan gerai di beberapa kawasan di daerah ini bagi memperkenalkan sistem GoPayy kepada orang ramai.

“MPSepang juga akan melantik ejen kupon gores yang sedia ada sebagai ejen jualan sistem GoPayy yang baharu. Sistem ini memudahkan orang ramai membayar caj tempat letak kereta khususnya kepada pengguna yang tidak memiliki telefon pintar.

“Penggunaannya sangat mudah dan pengguna hanya perlu memberikan nombor pendaftaran kenderaan kepada wakil ejen dan membuat bayaran caj petak kereta berdasarkan tempoh jam diperlukan serta mendapatkan resit pembayaran,” katanya.

Abd Hamid berkata, butiran parkir seperti nombor pendaftaran kereta, tempoh mula dan tamat, tarikh serta kawasan atau PBT akan dicetak secara automatik pada resit pembayaran.

Katanya, perbezaan antara kupon digital dan kupon gores sedia ada adalah setiap pembelian akan direkodkan mengikut masa sebenar dan dalam talian melalui sistem GoPayy.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here