
CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikompaun sebanyak RM3,000 selepas melakukan dua kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, bekas Perdana Menteri itu melakukan dua kesalahan iaitu dengan tidak mengimbas suhu badan
dan gagal mendaftar kehadiran melalui MySejahtera.
“Najib dikenakan dua kompaun sebanyak RM1,500 bagi setiap kesalahan yang berjumlah RM3,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19 peraturan yang sama kerana melanggar SOP norma baharu PKPB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, turut dikenakan kompaun ialah Pengurus Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng, Yeok Wei Hao.

Beliau berkata, pengurus restoran itu dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 kerana gagal mengarahkan bekas Perdana Menteri itu mendaftar melalui MySejahtera atau menulis nama melalui buku pendaftaran.
Sehubungan itu, katanya, kompaun berjumlah RM13,000 itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.-MT