Neelofa, PU Riz tidak lakukan kesalahan merentas negeri ke Nilai – Pejabat Peguam Negara

0
642
PU Riz dan Neelofa hanya didakwa di mahkamah semalam kerana melanggar SOP PKPB dan bukannya atas kesalahan rentas negeri

NILAI – Tanda tanya warga maya kenapa pasangan selebriti kontroversi Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai PU Riz tidak dituduh di mahkamah kerana merentas negeri akhirnya terjawab.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, keputusan itu diambil selepas Pejabat Peguam Negara membuat keputusan tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap pasangan selebriti itu selepas membuat kajian dan keterangan yang diperoleh berhubung kes berkenaan.

“Isu rentas negeri membabitkan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara. Kajian dan keputusan itu telah dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, pasangan terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berdasarkan kertas pertuduhan, Neelofa, 32, dan PU Riz, 26, dituduh gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera di kedai karpet yang dikunjungi mereka di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.

Selain itu, PU Riz juga menghadapi satu lagi tuduhan, iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Peguam mereka, Haresh Mahadevan ketika ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban selepas prosiding itu semalam, menjelaskan bahawa kedua-dua anak guamnya itu hadir atas tuduhan melanggar SOP PKPB dan tidak membabitkan isu rentas negeri atau sebagainya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here