Nilai semula pelaksanaan PKP di negeri berjangkitan tinggi

0
30
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 akan dinilai semula.

Usaha itu termasuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dan tindakan penguatkuasaan diambil berkesan untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula itu perlu ekoran peningkatan kes yang mendadak pada ketika ini untuk langkah pencegahan lebih berkesan.

Pada masa ini katanya, kerajaan menggunakan sistem amaran awal iaitu Pengesanan Kawasan Panas Untuk Penglibatan Dinamik atau Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, pendekatan itu selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 secara bersasar.

Melalui sistem tersebut, katanya, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi- lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi.

“Saya menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19,”katanya.

Negara sejak beberapa minggu lalu mencatatkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 termasuk pelaksanaan PKP di negeri-negeri yang sebelum ini mempunyai banyak zon hijau.

Bagi kes harian pula, sebanyak 2,881 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan angka kumulatif Covid-19 negara kini 411,594 dengan kes aktif sebanyak 29,631.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here