Palestin: Jumlah korban meningkat kepada 212 orang termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita

0
75
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Angka korban rakyat Palestin akibat serangan tentera zionis Israel di Semenanjung Gaza terus meningkat kepada 212 orang termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita.

Perkembangan terkini itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman seperti yang telah dilaporkan Harian Metro hari ini.

Menurut Nadir Al Nuri, berdasarkan datan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin juga menunjukkan mangsa cedera turut meningkat kepada 1,400 orang buat masa ini.

“Pengeboman dan serangan paling kuat berlaku menerusi udara dan laut. Serangan zionis dari darat adalah tembakan mortar dan tembakan dari kereta kebal dari luar sempadan Gaza.

“Sehingga kini tiada tentera zionis yang menceroboh masuk ke Gaza menerusi darat untuk melakukan serangan dalam tanah Palestin.

“Dijangkakan dalam masa terdekat ini pihak zionis tidak akan masuk ke bumi Gaza, maksudnya tidak ada serangan menerusi darat, kecuali serangan mortar dan tembakan kereta kebal dari jarak jauh luar sempadan Gaza,” katanya.

Buat masa ini, katanya, serangan di sempadan darat agak berkurangan berbanding serangan udara yang mensasarkan tengah bandar Gaza khususnya infrastruktur, binaan bawah tanah, sistem perpaipan serta fasiliti lain.

Menurutnya, serangan zionis berlaku sepanjang masa tanpa waktu tertentu, boleh terjadi pagi, petang dan malam.

“Serangan boleh terjadi bila-bila masa sahaja tanpa sebarang amaran,” katanya.

Nadir berkata, terlalu awal untuk menyatakan bahawa tindak balas Palestin terhadap serangan Israel sebagai gerakan kebangkitan intifada.

“Memang benar ada kebangkitan tetapi masih belum menyeluruh. Kedua, ia tidak berterusan atau maksudnya ada waktu tertentu naik dan waktu lain tenggelam.

“Selain itu, sebenarnya jumlah kebangkitan masih lagi kecil untuk kita gelar sebagai intifada. Jika kebangkitan semakin besar, menyeluruh serta kesannya besar kepada musuh maka barulah ia akan digelar sebagai intifada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here