Peluang sertai ibadah korban serendah RM390

0
91
Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim (tengah) berucap pada majlis MoU antara Yayasan Budi Ihsan Malaysia dengan Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia petang ini.

CYBERJAYA – Malakat Mall membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai ibadah korban untuk agihan kepada golongan fakir miskin dan mereka yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menariknya, peluang menunaikan ibadah korban itu ditawarkan pada harga serendah RM390 sebahagian atau RM2,730 seekor lembu.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, Program Kembara Korban 1001 Asnaf 2021 itu merupakan kerjasama pihaknya dengan Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) dan Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (KGTR).

Katanya, dalam program anjuran anjuran YBIM itu, Malakat Mall akan beroperasi sebagai pusat agihan manakala KGTR pula sebagai pembekal dan pengendalian daging haiwan korban.

“Tujuan utama kita dalam program ini adalah untuk memudahkan umat Islam menunaikan ibadah korban khususnya dalam suasana PKP sekarang.

“Pada PKP 1.0 lalu, kita dengar ramai yang tidak dapat melaksanakannya kerana banyak masjid yang mengehadkan bilangan penyembelihan untuk mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis perjanjian persefahaman antara YBIM dengan KGTR di Malakat Mall petang ini.

Majlis menandatangai perjanjian itu diadakan antara Pengasas YBIM, Datuk Seri Rosli Atan manakala KGTR diwakil oleh Pengerusinya, Nordin Mat.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, selain menjadi pusat agihan, Malakat Mall juga akan memainkan peranan untuk mempromosikan program itu menggunakan platform dan semua pangkalan data sedia ada.

“Sepanjang PKP 1.0. Malakat Mall telah memberi sumbangan lebih 21,000 keluarga dan melalui kerjasama ini kami sasarkan sekurang-kurangnya 10,000 keluarga akan menerima manfaatnya.

“Selain Malakat Mall di Cyberjaya ini, kami juga ada di Masjid Tanah, Melaka dan 7 outlet pasar raya Malakat Grocer di Lembah Klang,” katanya.

Mengulas penglibatan pihaknya, Mohd. Fadzil berkata, Malakat Mall tidak mengambil sebarang keuntungan atau komisen daripada program itu sebaliknya melihat kerjasama itu sebagai tanggungjawab kepada masyarakat.

Sementara itu, Rosli berkata, YBIM pada tahun lalu mengagihkan daging korban kepada lebih 1,000 keluarga dan menyasarkan jumlah yang lebih besar melalui kerjasama dengan Malakat Mall.

“Kita menyeru umat Islam untuk turut serta dalam program korban secara berkelompok ini dengan harapan ia dapat dilaksanakan dengan lebih bersistematik dan memberi manfaat kepada golongan penerima.

“Usaha ini juga diharap dapat membantu golongan penternak tempatan yang mungkin terkesan sejak pandemik Covid-19 menular,” katanya.

Rosli Atan
Nordin Mat

Nordin pula berkata, sebagai pembekal haiwan korban, pihaknya akan memastikan semua daging disembelih dan diagihkan secara bersih dan bersistematik.

“Saya mewakili kira-kira 5,000 penternak berbesar hati atas kerjasama ini dan berharap usaha ini dapat bantu promosikan sektor ini.

“Tidak dinafikan, pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada penternak. Semoga usaha ini membuka lebih banyak peluang,” katanya.

Tempahan slot Program Kembara Korban 1001 Asnaf 2021 boleh dibuat melalui laman web www.ybim.org.my sebelum tarikh tutup 25 Julai 2021 atau menghubungi talian berikut; 0199384005\0198634005\019-3804005\03-86851338. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here