Pembela desak kerajaan denda maksimum syarikat Genting kerana langgar SOP

0
1677
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Kerajaan didesak untuk tidak mengamalkan sikap double standard dengan tidak mengenakan hukuman terhadap syarikat kasino terbesar, Genting kerana gagal mematuhi larangan tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Pertubuhan- pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, arahan oleh Kementerian Kewangan supaya pusat perjudian itu ditutup juga menimbulkan tanda tanya sama ada Genting diberikan kebenaran khas untuk beroperasi ketika PKP.

“Apakah ianya ditutup kerana ‘ada kes’ Covid-19 atau apakah ianya ditutup kerana kasino sebenarnya memang tidak dibenarkan beroperasi kerana SOP?

“Ini suatu tanda tanya yang besar yang berlegar dalam kalangan masyarakat.

“Jika benar kasino Genting diarah tutup kerana mereka beroperasi secara ‘curi-curi’, maka mengapakah kita tidak dengar ada sebarang kompaun dikenakan? Rakyat mahu tahu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis hari ini mengesahkan pusat perjudian itu ditutup sepenuhnya selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Operasi pusat judi itu terbongkar selepas terdapat kes positif Covid-19 melibatkan pelancong dari Kedah yang melancong ke Genting hujung bulan lalu.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengenakan kompaun terhadap syarikat perjudian itu yang secara terang-terangan beroperasi tanpa kebenaran.

“Jika mereka dikompaun nanti, berapakah kompaun yang dikenakan kepada syarikat judi gergasi itu?

“Kalau setakat berpuluh ribu, mereka gelak sahaja kerana saya pasti untung beroperasi sehari berlipat kali ganda dari membayar kompaun.

“Saya faham kerajaan tidak boleh meletakkan sesuka hati harga kompaun sebegitu sahaja tetapi saya ingin mencadangkan agar mana-mana syarikat judi dan hiburan yang beroperasi secara ‘curi-curi’ dikompaun dengan kos yang sangat tinggi sekaligus boleh melumpuhkan terus ‘industri’ yang serba kebal itu,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin berharap kerajaan lebih tegas dan sensitif dengan pembukaan pusat-pusat hiburan seperti yang diambil terhadap masjid dan surau.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here