Pembela persoal kenapa kasino dibenarkan dibuka ketika negara dilanda wabak bencana

0
344
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) mempersoalkan tindakan kerajaan yang membenarkan aktiviti perjudian dan kasino beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan ketika negara dilanda wabak bencana besar.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, paling mengecewakan apabila Kementerian Pelancongan (MOTAC) turut mempertahankan aktiviti perjudian itu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Patuh atau tidak SOP dalam hal ini ialah isu kedua. Yang paling utama sekali ialah mengapakah kerajaan membenarkan pakej pelancongan perjudian beramai-ramai sebegini?

“Hasilnya, seramai lebih separuh dari yang disaring positif Covid-19 seperti dilaporkan media. Itu pun baru sahaja rombongan dari Alor Setar. Bagaimana pula dengan rombongan yang lain?

“Apa yang paling mengecewakan ialah respon MOTAC dalam isu ini. Kita mengharapkan agar ada ketegasan yang tuntas seperti menutup pusat perjudian atau menghentikan kebenaran perlancongan buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai dakwaan pelancong dari Kedah yang ke Genting disahkan positif Covid-19.

Perkara itu kemudiannya disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang berkata, ujian saringan setakat 7 Mei lalu, mengesan 16 individu disahkan positif selepas ujian dilakukan ke atas 28 pelancong.

Kerajaan sebelum ini membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kedah dan Pahang sebelum PKP berkuat kuasa minggu lalu, merupakan negeri yang diletakkan di bawah PKPB.

Sementara itu, Aminuddin turut meluahkan kekecewaan dengan tindakan kerajaan yang cuba melindungi syarikat kasino gergasi tersebut.

“Mereka seolah-olah ‘backup’ atau cuba melindungi sesuatu. Saya tidak tahu apalah kepentingan kerajaan terhadap syarikat kasino gergasi ini. Respon kerajaan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa SOP sedia ada tidak berkesan, kerana dengan mematuhi SOP pun jangkitan berlaku beramai-ramai.

“Apa yang pasti, rakyat sedang sangat marah dan sentimen ‘double standard’ adalah sangat kuat dalam kalangan marhaen. Respon kementerian dalam isu ini pasti menyemarakkan lagi kemarahan rakyat. Tolonglah, kita perlu serius menangani wabak yang membunuh ini. Ketepikanlah segala kepentingan kerana nyawa lebih bernilai,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here