Penang FC belasah Terengganu FC di tempat lawan

0
143
Gol ketiga oleh Casagrande melalui hasil tandukan

CYBERJAYA – Aksi memukau pasukan Terengganu FC (TFC) ketika mengejutkan pasukan tangga teratas Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada minggu lalu gagal dijelmakan sekali lagi apabila dibelasah pasukan Penang FC (PFC) di laman sendiri sebentar tadi.

Pasukan PFC yang masih segar dengan kejayaan menundukkan pasukan Sri Pahang 3-0 pada aksi sebelum ini berjaya membenamkan cabaran TFC dengan keputusan 1-4.

Kemenangan itu terus melonjakkan pasukan bimbingan Thomas Trucha ke tangga ketiga dengan 22 mata manakala Terengganu jatuh ke kedudukan keempat dengan 21 mata.

Skuad Harimau Kumbang membuka tirai jaringan minit kelapan melalui tandukan penyerang importnya, Sheriddin Boboev selepas dia menyambung sepakan sudut ketua pasukan, Endrick Dos Santos.

PFC kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-21 melalui tandukan Endrick yang menyambung sepakan kencang Sheriddin di hadapan palang gol TFC.

Bersambung di babak kedua, pasukan Sang Penyu mula menggandakan asakan dengan percubaan berturut-turut Hakimi Abdullah (m-48) dan Marcel N’Guessan (m-53) namun dinafikan penjaga gol PFC, See Tian Kiat.

Serangan berterusan Terengganu FC akhirnya berhasil apabila Hakimi menyepak kencang di depan kotak penalti pada minit ke-59.

Kebangkitan yang diharapkan 6,000 penyokong TFC tidak kesampaian apabika PFC menjaringkan gol ketiga melalui penyerang tinggi lampai Casagrande yang mudah menanduk hantaran lambung bek kanan, Quentin Cheng pada minit ke-65 sekali gus menewaskan Mohd. Suhaimi Husin.

Selang dua minit kemudian, Casagrande sekali lagi menghukum barisan pertahanan TFC melalui teknik jaringan dan posisi sama.

Gol kedua peribadi pemain berasal dari Brazil itu pada minit ke-68 d kekal hingga permainan tamat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here