Pendidikan digital pastikan murid dibekalkan dengan ilmu walaupun sekolah ditutup

0
43
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin

CYBERJAYA – Pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk memastikan murid kekal menerima pendidikan walaupun sekolah ditutup.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan digital menjadi instrumen penting kepada dunia pendidikan hari ini bagi menjamin PdP terutama ketika pandemik melanda.

“Sejak lebih setahun lalu, proses PdP konvensional sudah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan negara.

“Dalam agenda pendidikan inklusif ini, kerajaan akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan tertentu termasuk murid Orang Asli dan pribumi turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.

“Perubahan yang berlaku jelas membuktikan bahawa konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara ‘four walls of room’. Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan pada setiap masa dan setiap tempat.

“Dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya warga pendidik,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Guru hari ini.

Muhyiddin berkata, biarpun guru berhadapan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian terutamanya apabila PdP di rumah dilaksanakan, namun ramai dalam kalangan guru berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

“Ini suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan luas dan saya berharap Kementerian Pendidikan akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri demi menambahbaik pendekatan PdP dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu katanya, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga sejajar anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran, iaitu pengajaran berteraskan ICT.

Katanya, PPPM juga berhasrat mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan, selain relevan dan fleksibel pada setiap masa dan tempat.

“Untuk itu, guru hendaklah menyediakan ‘mindset’ bahawa alam sejagat ini adalah kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita. Ini menuntut guru untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

“Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan saja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sejak 15 Jun tahun lalu, KPM sudah mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

“Platform ini salah satu peluang untuk guru berusaha memperkasa diri dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran secara digital.

“Guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid dapat mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here