Penduduk Gaza tiada lagi tempat berlindung, rumah jadi sasaran Zionis

0
98
Bangunan dan kediaman di Gaza yang musnah diserang Zionis

GAZA – Rumah yang sepatutnya menjadi tempat berlindung berubah menjadi kawasan paling tidak selamat di sini sejak rejim Zionis melancarkan serangan ganas tanpa henti ke arah penduduk Palestin.

Berkongsi kisah kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh penduduk Palestin ketika ini, seorang guru di Gaza, Taghreeb Ahmad berkata, setiap hari penduduk di sini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan apabila rejim Zionis turut menyerang orang awam.

“Sejak serangan di arahkan ke Gaza lebih 290 yang terkorban, 63 daripadanya adalah kanak-kanak.

“Situasi di sini sangat sukar, rumah dan bangunan banyak yang musnah. Malah serangan rejim banyak dilakukan ketika semua sedang tidur di rumah. Kini rumah bukan lagi menjadi tempat yang selamat untuk kami,” katanya dalam sesi live Facebook bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat dan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim hari ini.

Taghreeb yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Brainy Bunch Gaza berkata, rejim Zionis juga bertindak biadab apabila dengan sengaja memusnahkan sembilan masjid di Gaza.

Taghreeb bersama Mohd Fadzil dalam sesi Live Facebook

Beliau berkata, setiap kali letupan bom kedengaran, mereka hanya mampu berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan.

“Hingga ke satu peringkat, kami terpaksa tukar anak dengan keluarga lain, sekurang-kurangnya kalau ada yang terkena serangan, masih ada ahli keluarga lain yang selamat.

“Pada masa sama, situasi di sini juga sangat sukar dengan sembilan masjid dimusnahkan dan sekurang-kurangnya 8,200 rumah musnah sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Taghreeb juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral dan bantuan kewangan kepada penduduk Palestin.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Brainy Bunch yang menyediakan sekolah amal secara percuma di Brainy Bunch.

Mengulas mengenai keadaan murid dan guru di Brainy Bunch Gaza, Taghreeb berkata, meskipun semua selamat, ramai terpaksa melarikan diri kerana rumah yang mereka diami terletak berhampiran sempadan Gaza-Israel dan terdedah kepada serangan oleh tentera rejim.

“Alhamdulillah kami akan terus bertahan dan sesekali tidak akan menyerah diri walaupun menjadi sasaran tentera rejim.

“Yang kami harapkan adalah doa semua. Dengan doa sudah cukup membuatkan kami tenang dan gembira,” katanya.

Murid di Brainy Bunch Gaza

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan dan doa khususnya kepada penduduk Palestin di Gaza.

“Kami doakan keselamatan semua, selain itu kami juga akan melancarkan kempen untuk memberi bantuan kepada saudara kita di Gaza.

“Sekarang gelombang sokongan orang ramai terhadap Palestin terutamanya di Malaysia semakin meningkat, semoga Allah terus bukakan pintu hati kita untuk membantu mereka,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here