Penerima dos kedua vaksin negara kini hampir mencecah 1 juta

0
32
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam merekodkan sebanyak 935,865 individu yang sudah melengkapkan suntikan dos kedua.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi Twitternya berkata, seramai 1,647,183 individu telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,583,048 dos setakat Selasa.

Dr. Adham berkata, lima negeri yang menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 126,462 dos diikuti Sarawak (92,261), Kuala Lumpur (90,514), Johor (83,728) dan Perak (78,940).

Setakat Selasa, 45.60 peratus atau 11,069,418 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 2,916,443 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here