Pengerusi Prasarana akui kesilapan, mohon maaf pada semua

0
770
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

CYBERJAYA – Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui kesilapan dan memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukannya ketika mengendalikan sidang media mengenai kemalangan LRT, semalam.

Perkara itu disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghubungi Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebentar tadi.

“Beliau mengaku buat kesilapan dalam sidang media mengenai kemalangan LRT.

“Justeru, beliau menerima nasihat serta teguran saya untuk meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah bukan masa untuk berseloroh.

“Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat.

“Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya sebentar tadi.

Orang ramai semalam menunjukkan perasaan tidak senang dengan cara Tajuddin mengendalikan sidang media tersebut.

Rata-rata menyifatkan beliau tidak menunjukkan perasaan sensitif dan empati terhadap kejadian yang berlaku itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, selain bersetuju untuk menanggung kos perubatan penuh, Tajuddin juga akan meminta Prasarana menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera dari RM1,000 ke satu angka yang lebih memuaskan.

Katanya, ia bukan pampasan tetapi bantuan kecemasan untuk mangsa.

Selain itu, katanya, Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan dari PERKESO dan dari majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja.

“Pada masa sama, beliau juga berjanji bahawa dia akan memastikan siasatan penuh punca tragedi tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang.

“Beliau juga berjanji akan letak jawatan sebaik sahaja Majlis Kerja Teringgi (MKT) UMNO arahkan semua ahli UMNO untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU UMNO) beberapa bulan lepas,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here