Perlis laksanakan solat sunat Aidilfitri di tanah lapang

0
83

ARAU – Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri bagi negeri Perlis dibenarkan dan akan dilaksanakan di tanah lapang menurut sunnah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, solat itu akan diadakan pada pukul 8 pagi.

Baginda turut bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, seperti berlakunya hujan lebat, solat boleh dilakukan di dalam masjid dengan kapasiti keluasan maksimum mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pada 8.30 pagi.

“Solat Aidilfitri tidak dibenarkan didirikan di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama terlebih dahulu,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah berkenan untuk berangkat menunaikan Solat Aidilfitri bersama-sama rakyat di Dataran Istiadat, Perkarangan Istana Arau.

Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP Keselamatan dan Kesihatan yang telah ditetapkan dan pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP,” titah baginda lagi.

Baginda turut bertitah, jamuan Aidilfitri di tempat solat boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here