Pertempuran dengan Zionis hanya tamat selepas al-Aqsa dibebaskan – Ismail Haniyeh

0
346
Penduduk Gaza berkumpul beramai-ramai meraikan kemenangan ke atas Israel awal pagi semalam

DOHA – Hamas menegaskan, perang rakyat Palestin ke atas rejim Zionis akan berterusan sehingga Masjid al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis dibebaskan sepenuhnya, kata pemimpin kanannya, Ismail Haniyeh.

“Kekalahan Israel dalam pertempuran di Gaza memberikan kesan yang sangat pada masa hadapan.

“Isu Baitulmaqdis masih menjadi punca konflik utama dan fokus kami untuk membebaskan Masjid al-Aqsa,” katanya memetik laporan media tempatan.

Ismail yang kini berada di Doha berkata, kekalahan Israel di tangan Palestin juga merupakan kejayaan pihaknya memusnahkan harapan rejim Zionis itu mengadakan integrasi dengan negara Arab lain.

Ismail berkata demikian sebagai merujuk perjanjian perdamaian antara Israel bersama empat negara Arab iaitu Mahgribi, Bahrain, Sudan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada masa sama, Ismail berkata, pertempuran yang berlaku antara Palestin dan rejim Zionis itu juga menunjukkan betapa rakyat Palestin kini telah bangkit semula untuk mempertahankan Gaza, Baitulmaqdis dan bumi Palestin yang dijajah.

Sementara itu, sebelum gencatan senjata itu berlaku, Ismail telah memberi amaran kepada rejim Zionis supaya tidak mengganggu Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat, identiti dan tempat suci umat Islam.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh rejim sebelum ini telah menceroboh garis sempadan kesabaran dan perlu diberikan pengajaran supaya tidak bermain dengan api lagi selepas ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here