PKP 3.0 kurangkan pergerakan 13.5 juta pekerja

0
59
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (PKP) 3.0 atau total lockdown yang bermula pada Selasa ini akan mengurangkan pergerakan 15 juta kepada 1.5 juta individu dalam sektor pekerjaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, larangan yang terpakai di seluruh negara itu bertujuan untuk menyekat pergerakan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang semakin memuncak.

“Larangan ini melibatkan sebahagian besar sektor industri dan perkilangan dengan kebenaran bekerja diberikan kepada hanya 60 peratus jumlah kakitangan.

“Manakala dalam sektor kerajaan, hanya 20 peratus sahaja kakitangan dibenarkan untuk bekerja,” katanya dalam sidang media Menteri Kanan dan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai “Total Lockdown” petang ini.

Ismail berkata, larangan beroperasi bagi untuk sektor perkilangan berkuatkuasa hanya dibenarkan bagi sektor aeroangkasa, makanan & minuman, pembungkusan dan pencetakan, penjagaan diri dan cucian dan perubatan dan kesihatan.

Sementara itu bagi kebenaran individu untuk keluar rumah hanya diberikan kepada dua orang dalam satu keluarga pada satu-satu masa untuk pembelian barang keperluan makanan dan ubat-ubatan.

“Kita hanya benarkan dua orang untuk keluar beli keperluan asasi, itu pun hanya untuk radius tidak melebihi 10 kilometer sama seperti dalam PKP 1.0,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut tidak membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri bagi pasangan jarak jauh (PJJ) dalam tempoh ‘lockdown’ fasa pertama bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini.

“Apa yang perlu hari ini semua rakyat perlu berkorban, ada yang terpaksa menutup perniagaan sementara waktu, ada yang terpaksa menutup kilang mereka sementara waktu untuk dua minggu ini.

“Jadi untuk PJJ perlu berkorban untuk dua minggu ini. Kita telah membuat keputusan iaitu untuk tidak membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri oleh pasangan PJJ,” katanya.

Tambahnya, operasi tadika dan taska juga tidak dibenarkan kecuali bagi anak-anak pasangan petugas barisan kesihatan atau frontliners yang kedua-dua perlu bekerja.

Selain itu katanya, had bagi aktiviti sukan hanya dibenarkan untuk sukan perseorangan sahaja tanpa melebihi had waktu 8 malam.

Sementara itu, bagi operasi stesen minyak pula, waktu operasi ditetapkan dari pukul 6 pagi hingga 8 malam manakala bagi stesen minyak di lebuh raya, dibenarkan beroperasi 24 jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here