PKP 3.0: Tempoh beli belah dihadkan selama dua jam sahaja

0
672
Pengunjung ketika membeli kelengkapan Aidilfitri pada minggu terakhir Ramadan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur yang bermula hari ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India. – FOTO-FARIDJANUDIN

CYBERJAYA – Berkuat kuasa Selasa ini kerajaan menetapkan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu dibuat sebagai mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi sektor perdagangan.

Beliau berkata, semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

“Pemilik perniagaan juga perlu memastikan kapasiti pekerja dihadkan bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

“Mana-mana premis peruncitan termasuk pusat beli belah yang tersenarai bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup serta merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, pada masa sama pihaknya juga akan menguatkuasa SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran, bermula Selasa ini, susulan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan Covid-19 bagi memperketatkan pelaksanaan PKP 3.0.

Katanya, waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Beliau berkata, pengecualian hanya membabitkan farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, pusat kesihatan dan perkhidmatan perapian diri ‘manicure’ dan ‘pedicure’) dikekalkan antara jam 8 pagi sehingga 10 malam.

Dalam pada itu katanya, bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP termasuk pekerja dan juga pelanggan.

“Pemilik premis perniagaan juga perlu sentiasa proaktif, peka dalam memastikan pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara.

“KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada MKN untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP.

“Kementerian juga berharap langkah mengenakan sekatan tambahan ini akan mendapat kerjasama daripada semua pemain industri bagi memastikan hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan penting sahaja,” katanya

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penambahan SOP terhadap sektor ekonomi dalam pelaksanaan PKP 3.0.

Pelaksanaan PKP 3.0 itu dengan mengenakan sekatan tambahan dan pada masa sama masih membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi bagi menangani situasi terkini kes COVID-19 yang semakin membimbangkan dan penularan dalam komuniti semakin tinggi di seluruh negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here