PKP di Kuala Lumpur perlu seketat-ketatnya

0
25
Tan Sri Annuar Musa

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan disemak semula dengan penguatkuasaan lebih ketat akan dilaksanakan serta merta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakn bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan melandaikan lengkuk penularan.

Beliau berkata, keselamatan dan nyawa rakyat perlu didahulukan, malah masyarakat wajar bersedia berkorban menghadapi musibah serta kesukaran kecil, demi mengelak bencana yang lebih besar.

“Saya mendengar taklimat situasi semasa dan unjuran kes positif COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, petang tadi (semalam).

“Saya juga meneliti isi kandungan surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan kepada pengarah hospital yang diedar hari ini (semalam) berhubung persiapan meningkatkan keupayaan hospital dan memerhati situasi serta laporan pematuhan di lapangan sekitar Kuala Lumpur.

“Ia terutama rekod daripada HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) dan mengambil kira kemungkinan suasana kemuncak akhir Ramadan serta awal Syawal.

“Semuanya menjurus ke arah penularan COVID-19 secara besar-besaran dan bakal mengancam tahap kapasiti hospital di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

Dr. Noor Hisham menerusi surat pekeliling semalam mengarahkan supaya hospital bersiapsiaga menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19, khususnya individu dengan gejala serius di seluruh negara.

Sebanyak 10 pelan kesiapsiagaan hospital digariskan untuk tindakan ketua pengarah hospital di seluruh negara dan perlu dilaporkan dari semasa ke semasa kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Norhizan Ismail.

PKP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkuat kuasa sejak semalam hingga 20 Mei ini, dengan menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) membabitkan operasi perniagaan di sekitar ibu kota.

Ia termasuk waktu operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang masih diteruskan, meskipun kes COVID-19 di seluruh negara merekodkan peningkatan mendadak menjangkau 4,498 kes semalam.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau akan menyertai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MKN Khas hari ini yang akan membincangkan secara terperinci tentang PKP di Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, esok (hari ini) saya akan sertai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MKN Khas. Kita akan bincang secara terperinci dan mendoakan pandangan Wilayah Persekutuan turut disokong kawan-kawan lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here