PKP di Kuala Lumpur, seluruh negara perlu diperketatkan lagi – Annuar

0
124
Suasana di sekitar Kuala Lumpur yang lengang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

CYBERJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengetatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur dan seluruh negara.

Beliau berkata, ini kerana hanya dengan PKP yang sangat ketat dapat memutuskan rantaian kes Covid-19 di negara ini.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan, saya berpandangan perintah PKP lebih ketat dan lebih berkesan diperlukan serta merta.

“Keselamatan dan nyawa rakyat perlu didahulukan dan kita perlu bersedia berkorban menghadapi musibah dan kesukaran kecil demi mengelak bencana dan kesukaran yang lebih besar,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya sebentar tadi.

Kes Covid-19 di seluruh negara mencatatkan peningkatan mendadak hari ini apabila 4,498 kes baharu direkodkan.

Malah lebih membimbangkan apabila negara merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes ke unit rawatan rapi (ICU), iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula.

Dalam pada itu, Annuar berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berhubung situasi semasa kes Covid-19, kemungkinan besar penularan wabak tersebut pada musim perayaan ini bakal mengancam tahap kapasiti hospital di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat jawatankuasa itu hari ini bagi memperincikan langkah yang perlu diambil.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here