PKP di Malaysia adalah langkah tepat – WHO

0
59
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah satu-satunya cara untuk meratakan lekuk penularan Covid-19 yang semakin serius di negara ini.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sekali lagi bermula esok hingga 7 Jun adalah langkah tepat untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini yang semakin meningkat.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr. Ying-Ru Jacqueline Lo berkata, langkah itu penting kerana kapasiti penggunaan hospital telah mencapai tahap kritikal dengan peningkatan kes harian.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tiada pilihan selain mengehadkan kontak dalam kalangan orang ramai dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penyebaran Covid-19 pada masa ini.

“Kita melintasi garis merah apabila wad hospital dan unit rawatan rapi (ICU) sudah penuh. Apabila lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan dijangkiti, terdapat risiko sistem penjagaan kesihatan kita akan lumpuh,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula esok selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) khas mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya di Putrajaya.

Dr. Lo berkata, orang ramai perlu menyokong langkah itu kerana ia turut dilaksanakan banyak negara untuk mencegah wabak itu.

Beliau yang turut memahami kekecewaan masyarakat untuk menyambut Aidilfitri, menegaskan bahawa ia perlu dilakukan untuk terus mengelakkan kontak.

“Sukar untuk kerajaan mengumumkan langkah drastik ini, tetapi secara jelas WHO mengesyorkan agar masyarakat menjadi sebahagian daripada langkah itu kerana kerajaan tidak mampu melakukannya sendirian.

“Perlu juga diingat bahawa situasi pandemik ini boleh berubah dengan cepat dan masyarakat perlu terus mendengar setiap arahan daripada pihak berkuasa kesihatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu terus melibatkan setiap sektor yang terbabit khususnya ekonomi, agar mereka melaksanakan langkah keselamatan dalam perniagaannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here