PKPD di Kota Setar, dua lokaliti di Kelantan

0
77
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Pengesanan 976 kes aktif Covid-19 sejak minggu lalu di Kota Setar memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim daerah itu termasuk Bandar Alor Setar bermula 19 Mei hingga 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu berjalan serentak dengan dua buah kampung di dua lokaliti di Kelantan.

Pelaksanaan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 telah tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 hingga 16 Mei.

Beliau berkata, enam mukim direkodkan sebagai Zon Merah ialah Mukim Kota Setar sebanyak 78 kes, Mukim Mergong (223 kes), Mukim Pengkalan Kundor (143 kes), Mukim Derga (138 kes), Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes).

“Hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata melibatkan beberapa kluster sedia ada dan Kluster Dah Putih iaitu kluster terbaharu di daerah Kota Setar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, dua kawasan di Kelantan yang dikenakan PKPD ialah Kampung Pauh Lima dalam Mukim Gunong, Bachok dan Mukim Banggu, Kota Bharu.

Menurutnya, KKM telah melaksanakan sebanyak 227 ujian saringan di kedua-dua lokaliti tersebut dan 74 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif ialah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here